Tahun 2016 telah meninggalkan suatu kesan abadi dan mendalam dalam diri ini. Ini kerana telah perginya ayahanda yang tersayang ke rahmatullah dengan tenang. Semoga roh ayah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersamasama orang-orang yang beriman. Pergilah ayahku buat selamanya kerana saat aku akan tiba jua suatu hari nanti. Semoga Allah jauhi dirimu dari kesempitan kubur dan azabnya serta ditempatkan di dalam syurgaNya kelak. Ya Allah yang Maha mengasihani, ampunkanlah dosa arwah ayahku yang disayangi, arwah ibu yang disayungi dan arwah ibu mentuaku yang dihargai.
Sepanjang hidup ini tanpa mereka semua, tiadalah erti kehidupan ini. Sesungguhnya pengorbanan mereka semua tiada bandingan. Terima kasih ayah kerana mengambil tempat dan tugas ibu yang pergi dulu. Walaupun dalam kesempitan dan kesihatanmu yang banyak terbatas, namun kau gagahkan jua diri untuk membesar dan mendidik kami. Aku sedar Ya Allah bahawa ayahku membesarkan kami dengan kepayahan dan apalah kiranya dengan kemaafan dan kekayaanMu Ya Allah, Kau ampunilah Ayah kami dan arwah ibu kami. Maafkanlah sekiranya mereka melakukan kesalahan dan terimalah ibadat-ibadat mereka selama ini. Ya Allah..
Akku tahu selama ini ayah banyak berdoa untuk kesejahteraan kami dan sentiasa sayangkan kami. Walaupun diseluruh anggotanya mewarisi kedut-kedut ketuaan, namun dalam hatinya masih ingin melihat kami semua bahagia. Terima kasih ayah.
Semoga tahun 2016 telah banyak kebaikan yang aku lakukan dan 2017 membuka suatu lambaran baharu yang lebih cemerlang. Lewat masa ini aku rasa banyak yang aku tidak lakukan untuk kebaikan diri sendiri dan permulaan 2017 nanti akan aku cuba lalui dengan penuh keazaman bahawa aku inginkan suatu perubahan yang lain lebih baik dari masa-masa lalu. Semoga Allah membantu aku dalam menjadi yang lebih baik.
Sememangnya kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa-masa hadapan, tetapi sekurang-kurangnya aku mempunyai perancangan untuk melakukan yang terbaik. Sekiranya aku gagal dari perancangan ini maka aku sentiasa redha dengan apa yang Allah tentukan. Bagiku, perancangan Allah itu lebih baik dan sempurna. Aku berdoa agar 2017 menjadi tahun terbaik dalam lipatan sejarah hidup setelah 1975 hingga 2016 aku lalui. Semoga Allah sentiasa sayang pada diri ini dan memberi peluang yang indah untuk meneruskan kehidupan ini.
Kepada sahabat semua, mudahan hasrat ini dipandang mulia dan sentiasa doakan buat saya sebuah kebaikan, kemenangan yang diredhai dan kesihatan yang baik untuk terus berjuang untuk memiliki keredhaan Allah. Amin...